Tuesday, March 23, 2010

UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS (UniMAP) & Akreditasinya...

SALAM,... :)




LAPORAN akhbar Kosmo! bertarikh 15 Mac 2010, hampir kesemua program Ijazah Kejuruteraan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak mendapat pengiktirafan daripada EAC, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada saya adalah kurang tepat.

Ini kerana sebahagian besar program-program di UniMAP ini masih sedang menjalani proses pengiktirafan atau dengan kata lain sedang dinilai oleh pihak yang berkenaan.

Tetapi apa yang menimbulkan keraguan sebahagian besar warga UniMAP, terutamanya para pelajar dan ibu bapa, mengapakah proses akreditasi untuk program-program Ijazah di UniMAP mengambil masa begitu lama?

Saya sebagai salah seorang bekas pelajar UniMAP secara peribadi amat kecewa kerana isu ini telah pun menjadi agenda utama pihak Pengurusan dan Pentadbiran Universiti sejak sekian lama. Apa yang kami sedia maklum, pihak berkaitan yang seharusnya merealisasikan proses pengiktirafan ini boleh disifatkan sebagai memandang enteng di atas apa yang pihak UniMAP usahakan.

Setelah dinaikkan taraf menjadi universiti yang mana sebelumnya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) dan tersenarai sebagai salah sebuah IPTA tempatan, adalah mustahil untuk menerima kenyataan apabila pengiktirafan program-program pengajiannya tergendala serta terpaksa mengambil masa yang amat lama hanya kerana kerenah birokrasi badan-badan bertanggungjawab.

Sejauh manakah lagi perjalanan dan selama manakah lagi masa yang perlu dibuang warga UniMAP untuk menemui jalan penyelesaian mengenai isu yang boleh dianggap sebagai isu nasional ini?

Seharusnya pihak terbabit ini perlu mengguna pakai konsep 1Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' seperti yang dizahirkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam menyelesaikan isu yang telah pun tertangguh lebih lima tahun ini.

Apa yang kami harapkan adalah tindakan yang lebih pantas dan telus oleh pihak-pihak yang terlibat serta usahasama murni oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

PRO UNIMAP

Kuala Lumpur

(Utusan Malaysia - 23 Mac 2010)


>>>> Bagi SD-Malaysia, isu ini perlu diambil kira serta dipandang serius oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Kerajaan Malaysia kerana ia melibatkan secara langsung mengenai maruah sistem pendidikan negara yang mana ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebagai 'hub-pendidikan' di rantau ini.

>>>> Tambahan pula ketika ini merupakan musim IPT menerima kemasukkan pelajar baru untuk sesi pengajian Diploma dan Ijazah,...jadi apakah nasib UniMAP sebagai salah sebuah IPTA di negara kita???